736 pelajar asnaf dari 48 sekolah di lima lokasi terima manfaat

PETALING JAYA, Selasa, [12 November 2019]: Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam”) hari ini melancarkan program Jom Ke Sekolah, satu inisiatif tanggungjawab korporat Bank Islam di bawah jenama AMAL Ihtiman Pendidikan yang diadakan di lima wilayah seluruh negara. Sejumlah RM312,800 diperuntukkan oleh Bank Islam untuk melaksanakan inisiatif murni ini yang bertujuan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan bagi sesi persekolahan tahun 2020 kepada 736 pelajar yang kurang berkemampuan di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Sabah serta Negeri Sembilan dan Melaka. Peruntukan tersebut merangkumi peruntukan zakat sebanyak RM218,800 dan bakinya merupakan peruntukan inisiatif tanggungjawab korporat Bank Islam.

Bagi program Jom Ke Sekolah di Wilayah Tengah, Bank Islam menaja seramai 100 pelajar dari keluarga kurang berkemampuan di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Lang, SK Sungai Kelambu dan SK Bandar Banting di Banting, Selangor untuk meneroka pengalaman pembelajaran yang menghiburkan di taman tema terkenal, Kidzania Kuala Lumpur di Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

Sebagai persediaan mereka ke sekolah pada tahun hadapan, para pelajar terlibat juga menerima sumbangan kelengkapan persekolahan bernilai RM300.00 setiap seorang berupa 2 set pakaian seragam; 2 set baju sukan; beg dan peralatan alat tulis serta 2 pasang kasut dan juga setokin. Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Encik Mohd Muazzam Mohamed.

Menurut Encik Mohd Muazzam, “Inisiatif Jom ke Sekolah merupakan satu wadah bagi Bank Islam  untuk  berkongsi  rezeki  dan  kemakmuran  di  kawasan-kawasan  kami  beroperasi. Sebagai sebuah institusi kewangan patuh Syariah, Bank Islam tidak lupa akan tanggungjawabnya untuk berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi apabila menjelangnya sesi persekolahan baru. Kami berharap agar sumbangan ini akan dapat memberi kelegaan kepada keluarga anak-anak yang hadir pada pagi ini kerana kelengkapan sekolah telahpun diuruskan. Semoga usaha ini juga dapat menyuntik semangat anak-anak ini untuk ke sekolah pada tahun hadapan.  Selain itu, ia merupakan satu inisiatif kami untuk membantu golongan B40 selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.”

Beliau menambah, inisiatif ini juga adalah sejajar dengan galakkan Kerajaan agar badan- badan korporat memainkan peranan aktif dalam menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) yang dirangka oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Program Jom ke Sekolah Bank Islam merujuk khusus kepada Matlamat 4 iaitu Pendidikan Berkualiti.

Minggu lalu, Bank Islam telahpun melaksanakan program Jom Ke Sekolah di Wilayah Selatan yang berlangsung di Negeri Sembilan, di mana seramai 96 pelajar asnaf dari Sekolah Menengah Sains Rembau, Rembau, Negeri Sembilan serta empat sekolah dari Melaka iaitu SK Air Jernih, SK Ramuan China Kechil, SK Ramuan China Besar dan SK Telok Berembang menerima sumbangan kelengkapan persekolahan bagi sesi 2020.

Susulan program hari ini, Bank Islam akan menyantuni 540 orang pelajar dari keluarga asnaf di empat lokasi lagi iaitu Bukit Mertajam, Pulau Pinang; Kuala Berang, Terengganu dan Tuaran, Sabah pada bulan ini.