RM200,000 Diperuntukkan Untuk Aktiviti AMAL di Seluruh Negara

SELANGOR, Sabtu, [19 Oktober 2019]: Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam”) menganjurkan Hari AMAL Bank Islam 2019 hari ini.  Program ini merupakan satu inisiatif tanggungjawab korporat yang melibatkan sukarelawan warga Bank Islam termasuk ahli Pengurusan untuk turun padang melakukan kerja-kerja kebajikan dan menyampaikan sumbangan. Ia dilaksanakan secara serentak di 15 lokasi di seluruh negara dengan tujuan untuk menyumbang kembali kepada masyarakat dan memelihara alam sekitar di samping menggalakkan semangat kesukarelawanan di kalangan warga kerja Bank Islam serta mewujudkan keseimbangan kehidupan dan kerja.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Encik Mohd Muazzam Mohamed, “Hari AMAL Bank Islam 2019 ini merupakan kali ketiga diadakan sejak diperkenalkan pada tahun 2017. Untuk tahun ini kami menyediakan peruntukkan sejumlah RM200,000 di mana lebih RM100,000 adalah dari dana zakat dan RM27,000 untuk aktiviti pemeliharaan alam sekitar serta RM73,000 adalah peruntukan khusus untuk Hari AMAL. Kami menganggarkan lebih dari 861 warga Bank Islam di seluruh negara, termasuk ahli pengurusan serta 250 orang sukarelawan lain akan turun padang melakukan kerja-kerja kebajikan di 15 lokasi. Seramai 2,471 penerima manfaat yang terdiri dari individu dan institusi akan disantuni sepanjang Hari AMAL ini. Secara keseluruhannya, sejumlah 6,666 jam diluangkan oleh semua sukarelawan untuk menjayakan program Hari AMAL kali ini ”.

Bagi aktiviti Hari AMAL di Hospital Selayang, Selangor, Bank Islam menaja penyediaan sudut bacaan dan ruang menunggu kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah di Lobi Utama hospital berkenaan. Bagi tujuan itu, Encik Mohd Muazzam dan Encik Nik Mohd Hasyudeen Yusoff, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Tabung Haji bersama-sama warga kerja Bank Islam meluangkan masa untuk menceriakan ruang tersebut dengan membuat lukisan dinding (mural).

Sempena Hari AMAL 2019 ini, turut dianjurkan program pemeriksaan kesihatan percuma kepada pelawat dan kakitangan, selain mengemas dan membersihkan surau wanita dan lelaki di Hospital Selayang, manakala menerusi Ziarah AMAL, Bank Islam menyampaikan sumbangan hamper kepada lebih 100 pesakit di wad pediatrik serta hadiah kepada anggota jururawat serta doktor yang bertugas.

Hari AMAL 2019 ini adalah sebahagian daripada inisiatif Bank Islam menyokong Pengantaraan Berasaskan Nilai (Value-based Intermediation – VBI) yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia sebagai hala tuju strategik industri perbankan Islam seterusnya. Tambahan pula, elemen- elemen inisiatif tanggungjawab korporat Bank Islam seperti Hari AMAL ini adalah untuk mencapai agenda Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals – SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (“PBB”) yang berikut:

  •   SDG 3 – Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan
  •   SDG 4 – Pendidikan Berkualiti
  •   SDG 17 – Kerjasama Demi Matlamat

Melangkah ke hadapan, Bank Islam akan terus berusaha untuk mencapai lagi matlamat- matlamat SDG yang lain dan ini secara langsung selari dengan hala tuju Bank Islam mementingkan tonggak Triple Bottom Line iaitu manusia, planet dan kemakmuran (people, planet and prosperity).